09 November, 2013

Cacatan Buat Renungan....

Hari ini saya ingin menitipkan satu tulisan yang molek untuk kita kongsi dan renung-renungkan. Tulisan ni dari portel rasmi Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Orang Kurang Upaya (Oku) Dari Perspektif Islam
Ditulis oleh Siti Fatimah Abd Rahman. Posted in Artikel
Orang Kurang Upaya (OKU) merujuk kepada individu yang memerlukan perkhidmatan istimewa bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam komuniti. OKU ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut kekurangan yang dialaminya seperti (a) kecacatan perkembangan (terencat akal), (b) cacat angota, (c) cacat penglihatan, (d) cacat pendengaran, (e) cacat pembelajaran (learning disabilities), (f) autisme, (g) bisu dan seumpamanya.
Semua mereka ini memerlukan perkhidmatan istimewa bagi membolehkan mereka hidup berdikari. Misalnya, orang yang cacat penglihatan, perlu kepada kemahiran membaca dan menulis Braille sebelum ia boleh menggunakan kemahiran itu untuk belajar atau mendapat pendidikan untuk hidup berdikari. Begitu juga, orang yang cacat pendengaran perlukan kemahiran memahami dan menggunakan bahasa isyarat sebelum boleh menggunakannya untuk berkomunikasi dengan orang lain.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga akhir tahun 1999, terdapat seramai 86, 346 orang kurang upaya dengan pecahan-pecahan berikut:
Cacat penglihatan : 12, 874 orang
Cacat pendengaran : 15, 876 orang
Cacat anggota : 29, 469 orang
Cacat akal : 28, 129 orang
Walau bagaimanapun, ini bukanlah angka sebenar bilangan OKU di negara ini kerana masih ramai yang tidak mendaftarkan diri mereka atau tidak didaftarkan di JKM.
Dari persepktif Islam, setiap anak yang lahir itu adalah kurniaan Allah kepada kedua ibubapanya, baik anak itu dilahirkan sempurna, mahupun sebaliknya. Kurniaan ini pula bukanlah diberi begitu sahaja, sebaliknya dengan segala tanggungjawab dan amanah yakni untuk membesarkan anak itu agar menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, agama dan masyarakatnya. Jadi, sama ada anak itu sempurna mahupun tidak, tanggungjawab membesar dan mendidik mereka masih terletak di bahu kedua ibubapa.
Selain itu, anak juga merupakan ujian kepada kedua orang tuanya, untuk melihat ketaqwaan serta keimanan mereka. Ini disebut dalam al-Quran, pada ayat 28 Surah al-Anfaal yang bermaksud, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Apabila dikatakan anak sebagai ujian, ia bermakna melalui anak itu Allah menguji kedua orang tuanya. Bila kita katakan Allah menguji kedua orang tua melalui anak mereka, ia tidak semestinya bermaksud Allah menguji ibubapa dengan memberikan anak-anak yang tidak sempurna. Walaupun ibubapa yang memiliki anak-anak yang tidak sempurna ini diuji dengan hebat, tidak kurang ibubapa yang diuji Allah walaupun anak-anaknya sempurna belaka. Walau bagaimanapun, ujian-ujian ini adalah lumrah hidup bagi orang Islam dan Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin lelaki dan wanita yang mengenai dirinya, hartanya, anaknya (dengan sabar) sehingga ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.”
Jadi, dalam Islam, sama ada anak itu sempurna atau sebaliknya, ia adalah kurniaan Allah dan ibubapa perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membesar dan mendidik anak-anak itu. Di masa yang sama, ibubapa harus ingat bahawa anak-anak juga adalah ujian dari Allah dan jika ujian ini dihadapi dengan redha dan sabar, maka akan ada ganjarannya di akhirat kelak.
Ibubapa yang dikurniakan anak yang kurang upaya hendaklah redha dengan kurniaan tersebut. Dengan adanya sifat redha ini, akan lebih mudahlah bagi mereka untuk menerima hakikat tersebut dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk membantu anak itu. Tanggungjawab terhadap anak itu perlu dilaksanakan sama seperti anak-anak lain dengan memberi makan-minun, pakai dan tempat tinggal yang selesa, memberi perhatian yang sewajarnya, pendidikan serta bimbingan. Satu perkara yang perlu diingat ialah anak kurang upaya memerlukan perhatian yang lebih dari anak normal kerana jiwa mereka yang lebih sensitif. Mereka juga perlu diberi pendidikan agama kerana walaupun cacat, mereka tetap perlu menjadi seorang Muslim yang baik. Tambah pula, ilmu agama ini akan memudahkan mereka menerima hakikat kelahiran yang sedemikian rupa. Ibubapa juga perlu memberikan motivasi kepada anak-anak ini agar tidak berputus asa dalam menghadapi hidup.
Membesarkan anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Berbagai cabaran yang akan dihadapi. Namun segalanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar . Sabar dengan kepenatan (terutamanya jika anak tadi tidak boleh menguruskan dirinya sendiri dan memerlukan kedua ibubapa menguruskan dirinya). Sabar dengan kerenah anak itu. Sabar dengan segala keperluannya (baik dari segi masa, penjagaan, rawatan, ubatan dan sebagainya). Oleh itu, kesabaran perlu ada pada diri ibubapa yang memiliki anak-anak kurang upaya.
Di samping itu, ibubapa perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia tentu mempunyai kelebihan dalam aspek yang lain. Sebagai contoh, orang yang cacat penglihatan biasanya terang mata hatinya. Jadi, ibubapa perlu mencari kelebihan serta kekuatan anak tersebut dan mengembangkannya. Sebagai contoh, seorang anak yang cacat penglihatan, mungkin berbakat untuk menjadi penyair yang terkenal.
Jadi, dalam membesarkan anak-anak kurang upaya, ibubapa perlu redha, sabar, melaksanakan tugas dan memfokus kepada kekuatan anak itu.
Sebaliknya, jika ibubapa tadi bersikap dengan sikap-sikap sebaliknya seperti tidak redha, tidak sabar dan enggan melaksanakan amanah, maka bukan sahaja ia memudaratkan dirinya sendiri tetapi juga anak yang tidak berdosa itu. Misalnya, jika ibubapa tadi tidak redha dengan pemberian Allah dan terus-terusan bertanya, “Mengapa Tuhan memberikan aku anak yang cacat?” atau “Mengapa aku yang terpaksa mendapat anak yang cacat dan tidak orang lain?”, maka, ia bukan sahaja dimurkai Allah kerana tidak menerima qahda dan qadar, serta mempersoalkan kuasa Allah tetapi juga dengan sikap yang sedemikian, mereka tidak akan menerima hakikat tersebut. Bila ibubapa tidak mahu menerima hakikat itu, maka agak sukar untuk mereka bertindak balas sewajarnya. Jika pasangan itu tidak sabar pula, maka ada kemungkinan anak tadi akan disakiti, baik secara mental, mahupun fizikal. Begitu juga, jika ibubapa tadi tidak mahu melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap anak itu, mereka mungkin akan mengabaikannya dan kebajikan anak itu tidak akan terurus.
Bagi pihak insan-insan yang istimewa atau orang-orang kurang upaya inipun, ada sikap-sikap tertentu yang perlu mereka ambil. Misalnya, mereka hendaklah redha dengan ketentuan Tuhan. Tentu ada sebabnya mengapa Tuhan lahirkan atau tentukan hidup mereka begitu. Usah dipersoalkan mengapa Tuhan jadikan begitu – itu hak Allah. Sebaliknya, terima hakikat itu dan lakukanlah sebaik mungkin dengan apa yang ada. OKU juga perlu tabah menghadapi segala cabaran yang melanda. Mereka perlu kuatkan semangat dan cekalkan hati kerana dengan kekurangan-kekurangan itu, mereka memerlukan usaha-usaha yang lebih berbanding orang-orang yang normal. Oleh itu mereka tidak boleh mudah berputus asa. OKU juga perlu sabar dengan segala dugaan yang mendatang. Minta bantuan keluarga untuk mengenalpasti kelebihan yang ada pada diri serta kembangkan kelebihan itu dan jika boleh, gunakan kelebihan itu untuk berdikari dalam hidup.
Bagaimana pula sikap kita – ahli masyarakat yang normal – terhadap golongan kurang upaya ini? Kita perlulah melayan mereka sama seperti kita melayan orang yang sempurna. Kekurangan yang mereka miliki bukanlah tiket untuk kita melayan mereka secara sambil lewa, apa lagi untuk menghina mereka. Sehubungan dengan itu, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu peristiwa yang terjadi kepada Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani pemuka-pemuka Quraish dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, Baginda pun memalingkan muka Baginda dari beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada pemuka-pemuka Quraish tadi. Dengan kejadian itu, Allah pun mewahyukan ayat 1- 11, Surah Abasa yang bermaksud,
“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! – ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran Al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) – maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). ”
Diriwayatkan bahawa setelah turunnya ayat-ayat itu, Rasulullah s.a.w. pun mengalihkan perhatiannya kepada Ummu Maktum.
Peristiwa di atas menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu ada kecacatan tertentu, maka kita harus melayaninya seperti orang lain, terutama jika mereka mendekati kita bagi tujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama. Oleh itu, sebagai ahli masyarakat yang akan sentiasa berdepan dengan OKU, kita perlulah mengamalkan sikap-sikap yang tertentu agar kebajikan serta hak-hak mereka terpelihara.
Pertama sekali, kita perlu menerima mereka sebagai sebahagian dari ahli masyarakat kita. Kehadiran mereka bukanlah untuk dihina atau diketawakan tetapi untuk difahami dan dibantu. Selain itu, kita perlu tahu kekurangan serta keperluan mereka agar dengan pengetahuan itu, kita dapat memberi kemudahan-kemuadahan yang diperlukan seperti tandas khas, tempat letak kereta serta laluan yang mudah untuk ke mana sahaja atau untuk melakukan apa sahaja.
Di masa ini, memang telah ada tandas khas dan tempat letak kereta khas untuk OKU tetapi kewujudannya tidak terlalu meluas. Malah, seringkali juga kemudahan-kemudahan ini disalahguna oleh orang-orang yang sempurna. Berkaitan dengan laluan yang mudah pula, apakah kita menyediakan laluan untuk kerusi roda yang bersesuaian? Apabila kita sedang berbaris untuk membayar bil atau apa sahaja, apakah kita mengharapkan OKU itu berbaris juga?
Begitu juga rumah-rumah ibadat, apakah ia mesra OKU? Masjid kita, apakah ada tempat letak kereta untuk OKU? Laluan kerusi roda untuk mereka bersembahyang berjemaah di Hari raya, misalnya? Apakah ada kelas-kelas tertentu untuk mereka mendapatkan bimbingan? Bolehkah seorang yang cacat penglihatan pergi ke masjid untuk belajar membaca al-Quran? Bolehkah seorang yang cacat pendengaran pergi ke masjid untuk diberi penerangan tentang Islam dengan menggunakan bahasa isyarat? Jika semua soalan yang diutarakan pada para ini dijawab dengan “Tidak”, apakah sebenarnya persepsi kita tentang OKU? Apakah kita melihat kekurangan mereka sebagai satu pengecualian dari tanggungjawab untuk mendalami serta mengamalkan Islam seperti orang lain? Atau kita memang tidak pernah memikirkan hal ini?
Untuk hidup bersama dengan OKU, kita perlu menjaga sensitiviti mereka. Seorang OKU (cacat anggota yang memerlukannya duduk di atas kerusi roda) pernah bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri di mana di masa kecil, kawannya dihalang dari bermain dengannya dengan kerap kerana ibu kawannya itu takut anaknya tidak mendapat latihan jasmani yang mencukupi (memandangkan tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan dengan seorang yang duduk di atas kerusi roda). Begitu juga seorang yang saya kenali menakut-nakutkan anaknya dengan OKU yang tinggal di sebelah rumahnya. Apakah ini caranya kita mendidik anak? Bukankah kita patut mengajar mereka berbaik dan membantu OKU dan bukan sebaliknya?

Kita juga patut membantu golongan kurang upaya ini baik dari segi kewangan, mahupun tenaga. Saya difahamkan, dalam masyarakat kita, memang ada banyak pertubuhan kebajikan tetapi kebanyakannya bertumpu kepada menjaga kebajikan anak yatim dan begitu sukar untuk mencari pertubuhan Islam yang menjaga kebajikan OKU. Mengapa? Apakah kerana al-Quran tidak menyebut perkataan “OKU” maka kita rasa mereka tidak perlu dibantu? Apakah kerana mereka bukannya salah satu dari asnaf zakat, maka kita merasakan mereka tidak perlu dibantu? Bukankah mereka juga termasuk dalam kategori “orang-orang yang memerlukan”? Jadi, kita sebagai orang Islam, perlu prihatin tentang perkara ini.
OKU adalah sebahagian dari masyarakat kita. Sebagaimana mereka merupakan ujian Allah kepada kedua orangtua dan keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita. Dengan segala kekurangan yang mereka miliki serta kelebihan yang ada pada kita, bagaimanakah kita berinteraksi dengan mereka? Apakah kita menggunakan kelebihan-kelebihan kita untuk memudahkan mereka atau apakah kelebihan-kelebihan kita itu mengaburkan mata hati kita terhadap keperluan-keperluan mereka lantas menafikan hak-hak mereka terhadap kita? Bukankah nikmat-nikmat yang kita miliki ini juga merupakan ujian Allah buat kita?

'Susahnya Nak Dengar Suara Ain....'

'Susahnya Nak Dengar Suara Ain....'
Itulah keluhan sesiapa shj yg mendampingi Ain. Aku sendiri sebagai ibunya sudah tidak tahu cara mana lagi boleh kuikhtiarkan supaya Ain mahu berbicara dgn insan lain selain dpd anggota keluarganya. Apa yg pasti...Ain bukanlah seorang yg bisu, cuma dia sgt permalu dan mungkin juga krg keyakinan diri utk berbicara dgn insan lain TETAPI jika dia menyukai seseorang itu maka ia mahu mendampingi orang itu dan mahu berbicara dgn insan berkenaan. Yg nyata..kita kena pandai mengambil hatinya maka barulah dia mahu berbicara dgn kita....

Skuad #TerimaKasih | Rantaian Kasih: Misi 1

Skuad #TerimaKasih | Rantaian Kasih: Misi 2

Makluman Kepada Yang Follow Blog Ni

Blog Ain-KYT ni dalam proses kemas kini..justeru tu akan ada beberapa ubahusai/perubahan dari masa kesemasa pada blog ni. Saya ucapkan terim...

Bersama TPM....di Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Sekolah - Julai 2012

Bersama TPM....di Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Sekolah - Julai 2012
TPM bertanya sesuatu tentang Ain....GPK dan mak tolong jawab bagi pihak Ain...Ketika ini flash kamera para wartawan bertali arus...