18 Jun, 2013

Datuk Bandar rasmi Pusat Menunggang Kuda OKU - UTUSAN/ASWAD YAHYA (14/06/2013)

...KUALA LUMPUR 13 Jun - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia menyediakan apa juga kemudahan untuk golongan orang kurang upaya termasuk Pusat Menunggang Kuda Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) yang terbesar di negara ini, yang dirasmikan pembukaannya hari ini. Pusat Menunggang Kuda OKU yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa itu menyediakan sebanyak 16 ekor kuda termasuk 11 ekor kuda baharu, yang akan dibawa masuk dari Belgium. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerjasama antara DBKL dengan Pertubuhan Menunggang Kuda Bagi OKU (RDA) berjaya merealisasikan pusat tersebut, yang merupakan cawangan kesembilan di negara ini. "Dengan pembukaan pusat ini pada hari ini dapat memenuhi permintaan daripada beberapa buah sekolah pendidikan khas bagi menjalankan aktiviti menunggang kuda yang menjadi satu terapi pemulihan yang sangat baik kepada golongan OKU," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pusat itu. Yang turut hadir Pengerusi RDA, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ekuestrian Malaysia, Datuk Othman Talib dan Jurulatih RDA dari Paralympic United Kingdom, Sue Adam. Ahmad Phesal berkata, semua golongan OKU di negara ini terutama kanak-kanak berhak untuk menjalani terapi atau rawatan khas melalui aktiviti menunggang kuda. "Apabila mereka turun dari kuda setelah menunggang haiwan tersebut, kanak-kanak OKU akan merasa bangga dengan dirinya kerana berjaya menunggang kuda dan haiwan tersebut dikatakan lebih memahami dan menyayangi mereka yang tidak dilahirkan sempurna ini. "Antara penyakit yang sesuai menggunakan rawatan terapi termasuklah strok, serebral palsy, sindrom down, masalah pembelajaran dan lembam," katanya. Dijangka lebih seribu orang OKU terutama kalangan kanak-kanak akan menjalani latihan menunggang kuda di Taman Tasik Titiwangsa yang disediakan secara percuma buat mereka. "Jadi saya berharap ibu bapa membawa anak-anak mereka yang istimewa untuk menikmati kehidupan yang lebih menyeronokkan dengan berinteraksi dengan alam terutama dengan kuda, yang pasti akan menjadi haiwan kesayangan mereka," katanya.