18 Jun, 2013

DBKL wujud pusat menunggang kuda OKU - Petikan dari Sinar Harian 14 Jun 2013, Bernama.

13 Jun 2013.....KUALA LUMPUR - Menyedari terapi berkuda mampu membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mengaktifkan tubuh, fikiran dan merangsang semangat mereka, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif membuka Pusat Menunggang Kuda untuk golongan itu. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pusat yang terletak di Unit Rekreasi Berkuda Tasik Titiwangsa itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) sekali gus menjadikan ia pusat kesembilan seumpanya, di negara ini. "Pembukaan pusat adalah satu usaha penambahbaikan DBKL di Unit Rekreasi DBKL memandangkan terdapat beberapa buah Sekolah Pendidikan Khas yang memohon untuk menjalankan aktiviti berkuda sejak tahun 90-an," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Menunggang Kuda bagi OKU Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi RDA Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Persatuan Equestrian Malaysia Datuk Othman Talib, Setiausaha Eksekutif Majlis Ekuin Malaysia Datuk Malek Jeremiah dan Jurulatih RDA Paralimpik United Kingdom Sue Adam. Ahmad Phesal berkata pusat itu akan dilengkapi dengan perkhidmatan lebih sistematik dan terancang merangkumi pemeriksaan kesihatan OKU, fokus pendidikan dan aktiviti fizikal yang selamat dan kemudahan terapi berkuda mengikut teknik dan standard yang ditetapkan RDA. Beliau berkata antara penyakit yang sesuai menggunakan rawatan terapi berkuda itu termasuk strok, serebral palsi, sindrom Down, masalah pembelajaran dan lembam.