05 April, 2019

Masuk Wad Untuk Cabutan & Rawatan Gigi

Rabu 3 April 2019, Ain masuk wad harian di PPUKM untuk persediaan buat cabutan dan rawatan gigi. Dua orang Doktor dan seorang pakar bius datang mendapatkan maklumat kesihatan dan memeriksa Ain. Ain diminta mula berpuasa jam 12 tengah malam......Khamis 4 April, kami dimaklumkan bahawa giliran Ain masuk dewan bedah dalam jam 2 petang. Pakaian untuk masuk dewan bedah juga pagi-pagi lagi sudah diberi. Ain nampak tidak ceria...mungkin kerana lapar juga sebab kena berpuasa......Jam 1. 30 petang Ain diarahkan menukar pakaian untuk bersiap sedia dibawa masuk ke dewan bedah. Jam 2 kami bergerak masuk dewan bedah. Air muka Ain sudah berubah. Saya cuba memberi semangat kepadanya. Ain ketawa bagai dibuat-buat. Saya tahu ada rasa kerisauan di hati Ain......Saya mengiringi Ain masuk hingga ke dalam bilik bedah. Rasa sangat sedih di hati sebab ayah Ain tidak juga kunjung tiba untuk memberi semangat pada Ain. Hanya saya dan Ain saja menghadapi situasi ini. Ada rasa kecewa dan ralat atas sikap ambil mudah ayah Ain. Kesihan Ain, dua orang pesakit yang lebih kurang sebaya usia dengan Ain ada ibubapa bersama mereka, tapi Ain hanya ada saya. Selepas Ain lelap akibat kesan ubat bius, saya pun keluar ke ruang menunggu. Dalam kesedihan saya sentiasa mendoakan semoga segalanya berjalan lancar dan dengan jayanya, aamiin.  Waktu itu jam tepat 2.30 petang. Jam 4.30 petang jururawat memanggil saya masuk ke bilik  pemantauan. Sesampai saja saya dekat Ain...hati ini sangat tersentuh bila melihat keadaan Ain. Ketika itu Ain sudah mulai sedar walaupun masih dalam keadaan mamai kerana kesan ubat bius. Nampak saja muka saya..Ain mula menangis dan terus memeluk saya ketat-ketat bagai tak mahu dilepaskannya. Huuuu...saya kuatkan hati ini untuk tidak turut menangis tapi dalam hati punyalah sedih. 4 batang gigi geraham Ain sudah dicabut......Selepas Ain betul-betul sudah sedar, katil Ain ditolak ke luar dari bilik pemantauan. Masa inilah baru nampak batang hidung ayah Ain...ada saja alasannya atas kelewatan datang. Ada rasa terbuku di hati saya yang terdalam sekali. Saya hanya diam membisu menahan amarah. Kemudian kami sama-sama mengiringi Ain masuk ke wad......
Ain kelihatan sangat lemah dan merengek minta simpati. Sedih hati melihat keadaan Ain. Kami akan bermalam di wad untuk semalam lagi. Malam itu Ain tidur dengan lenanya kerana kesan ubat bius masih ada berbaki. Menjelang pagi Ain bangun. Walaupun nampak macam menahan sakit tapi Ain nampak sedikit ceria. Pagi ini Ain hanya mampu makan sedikit roti. Setelah diperiksa, Ain dibenarkan discaj tengahari. Usai segala urusan discaj dan mengambil ubat kami pun beredar meninggalkan wad berkenaan. Bukan main seronok Ain bila diberitahu kita boleh balik rumah kita......Tengok tu siap pakai cerminmata hitam lagi..Pipi Ain nampak ada sedikit bengkak tapi doktor kata tidak apa-apa. Doktor ada bekalkan Ain surat penyataan berhubung operasi cabutan gigi Ain seandainya ada berlaku sesuatu yang diluar jangkaan untuk dirujuk ke bahagian emergency. Jam 3 petang kami sampai rumah...lega rasanya...Alhamdulillah. Semoga Ain cepat sihat dan kembali ceria seperti selalu, aamiin